Monday, August 25, 2008

Mohon laknat di rumah Allah

NANA KE PERMATANG PAUH (9)
25 Ogos 2008


PADA kira-kira jam 4.15 pagi ini, Nana terkejut daripada tidur kerana air hujan tempias dari tingkap apartmen ke muka. Hujan lebat dan angin kuat menyebabkan tempias. Terpaksa Nana bangun dan menutup tingkap.

Baring kembali di atas tilam, Nana tidak boleh lelap semula kerana desiran angin di luar cukup kuat. Sejak berada di Permatang Pauh mulai 13 Ogos lalu, fenomena cuaca mulai berubah dari kering ke basah selepas penamaan calon pilihan raya kecil pada 16 Ogos. Hujan menjelang subuh dengan angin yang kuat pada awal pagi ini adalah luar biasa bagi Nana sejak berada di sini.

Sambil cuba melelapkan mata, otak terfikir apakah perubahan cuaca luar biasa ini satu isyarat dari Yang Maha Berkuasa mengenai sesuatu. Malam tadi di Masjid Bandar Baru Perda yang terletak kira-kira 300 meter dari apartmen penginapan Nana berlangsung majlis solat munajat anjuran Pakatan Rakyat untuk memohon kemenangan Anwar Ibrahim.

Solat munajat memohon restu Allah turut diadakan oleh pihak Barisan Nasional (BN) yang meletakkan Arif Shah. Pendek katanya solat munajat di banyak masjid menjadi atur cara kempen terakhir kedua-dua pihak menjelang hari mengundi. Nana tidak menyertai mana-mana solat munajat kerana datang ke sini hanya sebagai pemerhati. Lagipun Nana mempunyai alasan sendiri untuk keberatan menyertai solat seumpama.

Di Masjid Bandar Baru Perda, apa yang berlangsung jelas boleh diikuti melalui pembesar suara. Selepas solat Maghrib ada ceramah. Salah seorang penceramah ialah Badrul Amin, ahli Majlis Pemimpin Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam ucapannya di rumah Allah itu, Badrul memohon supaya Yang Maha Berkuasa melaknati Mohd Saiful yang melakukan sumpah mubahalah atas dakwaan Anwar meliwatnya. Jelas Badrul telah membuat kesimpulan bahawa Anwar tidak bersalah dan Saiful yang bersalah. Lantas beliau memohon dalam ucapannya supaya Saiful dilaknati.

Saudara Badrul, apakah Yang Maha Mengetahui tidak tahu siapa yang benar dan yang bersalah. Perlukah Badrul memberitahu Yang Maha Mengetahui apa yang lebih diketahui-Nya.

Pokoknya Saiful sudah bersumpah, tapi Anwar belum lagi dan ternyata sama sekali tidak akan berbuat demikian. Sumpah ini bukan boleh dibuat main-main. Di manakah letaknya akidah kita jika cuba menjadikan Allah Yang Maha Adil `rakan konspirasi.' Maha Suci Allah dari segala tindak-tanduk makhluk-Nya.

Jika Saiful melakukan pembohongan dengan membuat sumpah palsu, kononnya atas konspirasi, maka semua yang terlibat dalam konspirasi itu telah melakukan dosa yang amat besar. Nauzubillah!

Pada ketika ini, mana-mana pihak tidak layak menuduh Saiful melakukan sumpah bohong dan menjadi alat konspirasi. Apatah lagi untuk memohon Allah supaya melaknati si Saiful. Setelah Saiful bersumpah, janganlah kita komen apa-apa lagi kerana beliau sendiri sudah menyerahkan dirinya kepada hukum Allah.

Sebaliknya jika Badrul mahu berlaku adil kepada semua pihak, minta Anwar turut melakukan sumpah laknat. Selepas itu semua pihak boleh tutup cerita kerana perkara ini kita telah serahkan kepada Allah Yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Segala urusan perbicaraan di mahkamah yang akan bermula 10 September akan datang adalah `urusan dunia.' Yang lebih penting ialah bagaimana Anwar dan Saiful menghadap `mahkamah Allah.'

Esok para pengundi di Permatang Pauh akan memutuskan siapa yang layak menjadi Ahli Parlimen mereka. Belum tentu pergolakan akan reda kerana Anwar sudah mengumumkan hajatnya untuk melangkah ke Putrajaya yang dibina oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, orang yang memecatnya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Selepas ini akan ada beberapa lagi pilihan raya kecil. Selagi tidak tercapai hajat Anwar untuk ke Putrajaya, pergolakan politik bukan sahaja akan berterusan, malah kita tidak tahu kemuncaknya bagaimana.

Yang dibimbangi, gajah sama gajah berlawan, pelanduk yang jadi mangsa. Kita rakyat biasa yang akan menjadi mangsa kepada perebutan kuasa yang semakin sengit.

Pada fikiran Nana. jika Anwar tiada dalam senario politik ini, keadaan tidaklah seburuk sekarang. Ada orang bertanya, apakah tiada orang lain yang layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia selain daripada gajah-gajah yang bertelagah sekarang.

Entahlah. Yang pasti, Nana akan kembali ke Kuala Lumpur selepas hari pengundian dengan terus mencari jawapan kepada banyak soalan. Dan Nana akan terus berdoa agar Allah s.w.t melindungi kita dan negara kita daripada bencana, huru-hara dan mala-petaka.

1 comment:

Anonymous said...

Renunglah kelangit. Perhatikan awan yang sedang berarak. Bertukar menjadi hujan. Menumbuhkan berbagai-bagai tumbuhan dan binatang yang menjadi makanan manusia. Dan bertanyalah. Siapakah yang mencipta semua itu? Hanya manusia yang beriman sahaja yang dapat memberikan jawapan yang tapat.

Bagaimana kiranya sumpah laknat dan doa laknat yang dilaungkan itu ditakdirkan berlaku oleh Allah swt. Bukan seorang, bukan dua orang, bukan sekelompok yang akan menerima padahnya. Tetapi seluruh rakyat negara ini.

Bagaimana andainya kemarau tanpa hujan berlarutan dalam jangka masa yang panjang, atau bencana alam mengancam. Berdoalah kepada Allah semoga anda yang tidak mahu terlibat dengannya kiranya mati terlebih dahulu sebelum Allah menurunkan bala tersebut. Na'uzubillah. Aku berlindung dengan Allah yang menjadikan langit dan bumi dan segala yang berada diantara keduannya. Amin.