Nana Ke Permatang Pauh (2)
ESOK hari penamaan calon Permatang Pauh. Biasanya, kempen bermula selepas calon-calon dinamakan. Barulah poster dan pemidang dipasang. Tapi nampaknya sekarang tidak lagi begitu.
Berlepas dari Kuala Lumpur, Nana dan seorang teman berkereta melalui Selangor, Perak dan Kedah untuk ke Permatang Pauh di Pulau Pinang. Kesemuanya negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat selepas PRU 2008.
Tiba di Ipoh, kami singgah makan tengah hari di kedai mamak `nasi ganja.’ Kenapa dipanggil nasi ganja? Di kaki lima kedai mamak itu kelihatan kira-kira 10 orang berbaris menunggu giliran. Jam di tangan menunjukkan lima minit sebelum pukul 2.00 petang. Biasanya ketika itu pelanggan sudah beransur reda kerana waktu makan tengah hari sudah berakhir. Tapi tidak di kedai `nasi ganja.’ Entah apa resipinya. Sekali `kena’ pasti hendak datang lagi.
Okeylah, yang Nana hendak ceritakan bukan fasal `nasi ganja.’ Yang mahu diceritakan ialah banyaknya pemidang-pemidang melintang dan menegak berwarna hijau dan berlambang bulan di tepi jalan yang kami lalui di Ipoh.
Gambar wajah Nik Aziz dan Haji Hadi Awang jelas terpampang. Ini kawasan DAP, kenapa begitu banyak gambar wajah dua tokoh Pas itu? Barulah kami sedar bahawa muktamar tahunan Pas kali ini diadakan di Ipoh. Oleh kerana Menteri Besar Perak adalah orang Pas, kesempatan diambil untuk mempromosi parti itu di negeri yang majoriti orang Melayunya menyokong UMNO.
DAP tak kisah sangat dengan kempen Pas itu. Mereka sekarang adik beradik. Lu tolong gua, gua tolong lu. Lu mahu pakai serban, pakailah. Tapi jangan paksa kami pakai serban cukuplah.
Untuk menyerlahkan ikatan persaudaraan tidak seagama ini, apa kata DAP mengambil kesempatan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka di Kota Bharu pula. Pasang gambar besar Kit Siang dan Karpal Sing di bulatan jam besar dan bulatan kijang. Lagi suka orang-orang Cina di Kelantan kepada Pas.
Di Ipoh, Pas bukan sahaja ambil kesempatan untuk mengadakan muktamar dan mempamerkan gambar-gambar pemimpin mereka di tempat strategik, tapi mereka juga cuba menampilkan Nik Aziz dan Haji Hadi ke mimbar khutbah Jumaat pada hari ini di Masjid Sultan Idris Shah II (masjid negeri) dan Masjid Sultan Azlan Shah di Institut Tadbiran Islam Perak.
Malangnya limpah perkenan Raja Muda Perak yang pada mulanya sudah diperoleh, pada saat-saat akhir telah dibatalkan. Tiada pengumuman rasmi sebab-sebab pembatalan.
Namun keputusan itu dianggap amat betul. Jangan beri peluang kepada orang-orang politik naik ke mimbar. Jika tidak bercakap secara langsung hal politik, secara kias mereka boleh selitkan mesej politik mereka. Peliharalah kesucian agama Islam daripada dinodai oleh orang politik.
Lagipun, jika diteruskan, akan ada orang-orang Melayu Perak yang berkata:``Apa ke hal ni Yob…teruk sangatkah negeri kita sampai khutbah pun nak disampaikan oleh orang negeri lain.’’
Dari Ipoh perjalanan kami diteruskan ke Pulau Pinang. Masuk ke kawasan Permatang Pauh, kami lihat pemidang-pemidang dan poster PKR sudah banyak dipasang di tepi jalan. Khabarnya ceramah-ceramah pun sudah berjalan beberapa hari.
Nampaknya suasana selepas pilihan raya umum 8 Mac tidak lagi seperti dulu. Pakatan Rakyat terus berkempen sepanjang masa sekalipun di negeri-negeri yang mereka kuasai. Pakatan Rakyat masih menjadikan politik sebagai agenda utama harian mereka.
Mahu ke mana Malaysia? Tidak letih dan muak dengan politik. Segalanya kerana ada orang terlalu gila untuk menjadi Perdana Menteri.
Nana ke Permatang Pauh
15 Ogos 2008
Friday, August 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment