Sunday, August 17, 2008

Syaitan ketawa berdekah di penamaan calon

NANA KE PERMATANG PAUH (3)

Nana turut berada di Institut Perguruan Tuanku Bainun, lokasi penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 16 Ogos 2008. Sebagaimana yang akhbar laporkan, Nana turut menyaksikan gelagat para penyokong Pakatan Rakyat (PR) mengejek dan mencemuh penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN).

Tidak perlulah diulangi apa kata-kata kesat, lucah dan menghina yang mereka hamburkan.

Menurut laporan akhbar, ada penyokong wanita yang diraba dan ada wartawan dan jurugambar NST yang diserang. Pengarang-pengarang akhbar kenalah ambil iktibar. Lain kali janganlah benarkan petugas-petugas anda menaiki kenderaan yang memaparkan dengan `gah’ nama akhbar dan syarikat akhbar anda jika mereka bertugas di tempat-tempat seumpama.

Semasa kacau-bilau Reformasi pada 1998, sebuah kenderaan yang membawa wartawan Utusan Malaysia juga diserang di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Batu bata dibaling, tapi nasib baik tidak kena cermin kenderaan. Kenderaan tersebut juga mempamerkan logo Utusan Malaysia.

Kita kena faham tentang perangai manusia apabila beramai. Yang pengecut jadi berani, yang kononnya warak pakai kopiah juga lupa Tuhan dan yang waras mudah jadi gila.

Nasib baiklah penyokong BN tidak seramai penyokong PR. Jika sama ramai, atau hampir sama, pasti berlaku pergaduhan besar.

Atau mungkin juga mereka tidak berani diejek jika jumlah kehadiran sama kuat.

Nana cukup kasihan melihat para penyokong BN yang diejek dan dicerca. Mereka berjalan-jalan cepat-cepat melalui lautan penyokong PR dengan tunduk kepala. Ada yang membawa bendera, tapi langsung tidak dikibar kerana ketakutan.

Sebilangan penyokong PR bukan sahaja mencerca, tapi menjajakan wang kertas kepada mereka seolah-olah mereka `boleh dibeli’ dengan duit. Ada yang menghulurkan wang kertas RM5, RM10…malah ada yang meletakkan wang kertas RM50 pada hujung joran kail untuk disua-sua kepada muka penyokong BN.




Dalam keadaan begini tidaklah mustahil jika ada penyokong wanita BN yang diraba. Tidak mustahil kerana yang datang bukan orang-orang yang baik belaka. Dalam keadaan begini, syaitan akan ketawa berdekah-dekah kerana begitu mudah dapat menghasut dan menjolok nafsu buruk mereka.



Nasib baik jugalah pasukan polis cukup bersedia mengawal sebarang kemungkinan. Kehadiran mereka yang cukup ketara, dengan beberapa helikopter berputar-putar di ruang udara dan unit pencehag rusuhan bersiap-siaga, menjadi amaran yang cukup jelas kepada sesiapa yang mahu menggugat ketenteraman.

No comments: