Thursday, August 14, 2008

Panggilan Permatang Pauh

Nana ke Permatang Pauh

Salam buat warga Permatang Pauh. Setelah sekian lama, Nana melepak di Kuala Lumpur, tergerak hati untuk makan angin ke Tanjung sambil menjenguk Permatang Pauh.

Pulau Pinang memang hebat. Sesiapa sahaja yang melalui Lebuh Raya PLUS boleh nampak kehebatan fizikal. Selepas saja melepasi tol Juru, kita sudah merasai ketandusan panorama hijau yang sebelumnya mewarnai sepanjang perjalanan. Di kini kanan lebuh raya bangunan batu menukar landskap pokok-pokok hijau.

Untuk ke Permatang Pauh, Nana ikut panduan jurukutip wang tol. Sebelum memasuki simpang ke Bukit Mertajam dan ke Permatang Pauh, Nana melewati Auto City. Walaupun Butterworth masih jauh sesiapa sahaja dapat melihat bahawa sebahagian besar negeri Pulau Pinang sudah menjadi kawasan kota atau kata orang putih, kawasan urban.

Bertuah betul Pakatan Rakyat. Ibarat pengantin perempuan masuk rumah yang sudah lengkap. Hanya perlu basuh kaki saja. Segalanya telah disediakan oleh Barisan Nasional (BN). Memang kita tidak boleh nafikan bahawa BN adalah arkitek pemodenan Malaysia. Mereka cekap merancang pembangunan negara.

Pakatan Rakyat dapat memerintah lima negeri ketika hampir segalanya sudah disediakan oleh BN, terutama di Pulau Pinang dan Selangor. Apakah Pakatan Rakyat boleh berbuat lebih baik lagi?

Setakat ini di Selangor, projek paling ketara yang telah dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat kemudian PKR ialah air percuma bagi 20 meter padu pertama.

Projek kedua yang lebih ketara ialah untuk membuka 10 peratus kuota pelajar UiTM kepada bukan bumiputera. Yang mencadangkan projek ini ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, orang kuat PKR. Tidak perlulah kita bahas mengenai reaksi bumiputera terhadap cadangan Khalid ini kerana kira-kira 5,000 pelajar UiTM telah berarak membantah.

Cuma yang Nana ingin catatkan ialah syor Khalid itu menyerlahkan lagi pendirian politik PKR dan Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam kekalutan untuk mendapatkan dan menjamin sokongan berterusan bukan Melayu terutama DAP, pelbagai lagi mereka akan dan sanggup buat.

Sambil terus memandu ke Permatang Pauh, Nana menggaru kepala memikirkan hal ini. Betapa jika andainya Pakatan Rakyat memerintah dan Anwar menjadi Perdana Menteri. Entah apa yang mereka akan lakukan terhadap orang Melayu untuk menggembirakan bukan Melayu.

Sampai di sini dulu tulisan Nana. Kisah perjalanan ke Permatang Pauh dan Tanjung (George Town) akan disambung lagi. Jangan lupa hari pembuangan undi pada 16 Ogos semakin dekat. Ketemu lagi setiap hari di ruangan ini sepanjang Nana berada di Penang.

1 comment:

HANTURAYA HANTURAYA said...

SELAMAT DATANG NANA.SAYA TAU SEMUA YANG HADIR NAK TENGOK KAMI DI SINI. NANA JANGAN BIMBANG SEBAB NANA DATANG DENGAN HAJAT BAIK. KAMI SINI RASA KAMI DAH OK, TAPI BAGILAH MAKLUMAT YANG GLOBAL SUPAYA KAMI BOLEH BERFIKIR DAN BUAT KEPUTUSAN YANG POSITIF.