Tuesday, August 19, 2008

Perang serangan peribadi calon memuncak

NANA KE PERMATANG PAUH (5)
19 Ogos 2008

SETELAH beberapa hari berada di Permatang Pauh dan hari pengundian semakin hampir, Nana melihat kempen serangan peribadi semakin meningkat.


Contohnya serangan terhadap calon BN, Arif Shah mengaitkannya dengan abangnya Amin Shah yang diisytiharkan bankrap pada tahun lalu ekoran kegagalan projek pembinaan kapal-kapal TLDM bernilai RM24.3 bilion.
Fitnah dilemparkan terhadap Arif Shah melalui SMS kononnya beliau terlibat sebagai pengarah.

Arif Shah telah menafikan terlibat secara langsung dengan syarikat abangnya PSC Industries. Katanya, beliau tidak terlibat secara lansung dengan mana-mana syarikat milik anggota keluarganya dan tidak pernah menjadi ahli lembaga pengarah.

Katanya, beliau hanya pernah dinamakan sebagai pengarah mengikut keadaan tertentu bagi membolehkannya menerima elaun untuk membiayai kegiatan politiknya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan polis dibuat terhadap Arif Shah oleh penyebar-penyebar fitnah itu. Dan tiada juga sebarang aduan lain mengenai apa jua tuduhan terhadapnya.


Lain pula dengan Anwar Ibrahim yang menghadapi kes tuduhan liwat ekoran laporan Mohd Saiful. Polis telah menyiasat dan perbicaraan kesnya akan bermula pada 10 September depan.

Tuduhan terhadap Anwar diperkuatkan lagi dengan akuan bersumpah mubahalah Mohd Saiful beserta cabarannya supaya bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut bersumpah menurut cara Islam.

Setakat ini Anwar bermati-matian cuba mengelakkan bersumpah. Langkah terbarunya ialah membawa Gus Dur, bekas Presiden Indonesia dan pemimpin Nahdatul Ulama ke Kuala Lumpur untuk menyatakan bahawa bersumpah dengan Quran bercanggah dengan ajaran Islam.

Gus Dur tidak pula menyebut dalam ayat Quran mana atau hadis mana yang melarang bersumpah dengan Quran.


Kesimpulannya, Anwar tidak mahu bersumpah dengan Quran atas sebab-sebab yang hanya beliau dan Allah s.w.t tahu. Ini mendedahkan beliau kepada serangan yang berterusan berhubung kes aduan Saiful.

Setakat membawa Gus Dur dan meminta bantuan Haji Hadi Awang tidak mencukupi untuk menepis serangan terhadap dirinya. Beliau hanya boleh menepis dengan bersumpah seperti Saiful.

No comments: